!!CINTA SEBELUM BERKAHWIN..!!.
Cinta sebelum berkahwin telah menjadi gaya hidup zaman
kini akibat pengaruh budaya luar. Cinta dalam Islam adalah sesuatu yang unik,
suci, jujur dan amanah. Ianya tidak akan ada melainkan dengan ikatan
perkahwinan yang sah. Islam mengajar umatnya supaya bercinta dalam bentuk yang
sah dengan penuh jujur, amanah, menjaga maruah dan beradab. Semuanya tidak
wujud dalam cinta sebelum berkahwin.
Daripada Ibn ‘Abbas katanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
Kami tidak melihat bagi dua orang yang berkasih sayang seperti perkahwinan.
(Ibn Majah: no. 1847)
Jika ada cinta dan kasih di antara dua orang maka itu
kasih itu tidak dapat menandingi hubungan perkahwinan yang didiri atas tuntutan
syariat. Sebab itu, cinta tidak kena pada tempatnya dan sebelum masanya dikira
sebagai penyakit kronik, kerana ia lari dari sifat dan cara asalnya. Sebelum
menyintai seseorang atau sesuatu, hendaklah cinta dan kasih kepada Allah
bertapak kemas dalam diri. Jika ini ada, maka seseorang tidak akan berani menyintai
sesuatu yang tidak harus baginya.
Cinta sebelum berkahwin mengundang pelbagai kemungkinan.
Titik permulaannya ialah dia terpesona dengan wanita. Inilah yang dinamakan
fitnah. Apabila penyakit terpesona ini menimpa maka akan melarat kepada
pertemuan, perbualan, bersunyian. Dari cara yang sederhana kepada yang lebih
mesra. Daripada serius kepada senda gurau. Seterusnya dilitupi awan-awan
khayalan. Walaupun pada asalnya dia mempunyai niat yang baik namun, niat yang
baik tidak sekali-sekali mengharuskan sesuatu yang tidak harus.
Banyak batas-batas syariat yang dilanggar apabila
terjerat dalam perangkap cinta:-
1 - Pandangan mata yang tidak dapat dikawal kerana
terfitnah dan terpesona akibat panahan mata kekasih.
Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki
yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang
haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi
mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka
kerjakan. (Surah al-Nur: 30)
Pandangan mata wajib dijaga kerana banyak perkara dan
juga masalah lain yang mengikutinya.
2 – Terpesona percakapan dan suara yang lunak
Apa yang selalu berlaku di kalangan pasangan bercinta
ialah suka berbual sehingga dalam perkara yang tidak mendatang manfaat sama ada
secara bersemuka, talian telefon mahupun internet. Perbualan bukan sekejap.
Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti
mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. oleh itu janganlah
kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing)
kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam
hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan
kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). (Surah al-Ahzab: 32)
Walaupun perintah menjaga kata ditujukan kepada
isteri-isteri Rasulullah s.a.w. ia juga merangkumi ummatnya kerana mempunyai
illah (sebab hukum yang sama, iaitu kata-kata yang manja dan lunak itu ada pada
orang perempuan.
3 - Hati yang menyembunyi pelbagai perasaan
Allah mengetahui pengkhianatan (penyelewengan dan
ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa yang
tersembunyi di dalam hati. (Surah Ghafir: 19)
Allah s.w.t. mengetahui persuatan seseorang mencuri
pandangan kepada orang yang bukan mahramnya, dan perasaan jahat atau baik yang
yang tersembunyi di dalamnya.
4 - Hawa nafsu bergelora dalam diri
Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan
berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi
kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya; (Surah al-Nur: 33)
Perintah Allah s.w.t. supaya menjaga kesucian diri dan
mengawal hawa nafsu dengan cara menjaga pandangan, bersabar dan berpuasa.
Cinta sebelum berkahwin bukan satu jaminan kepada
kebahagian akan datang. Alam percintaan adalah sesuatu yang tidak realistik,
penuh khayalan dan mengelirukan. Sekian ramai pasangan yang dilamun cinta
mendirikan rumah tetapi usia perkahwinan mereka lebih singkat daripada tempoh
bercinta. Jika sudah terperangkap maka hendaklah menyegerakan perkahwinan
kerana ia satu-satunya jalan pengubatannya.
Jika hati sudah terpesona kepada seseorang atau apabila
sudah sampai seru untuk berkahwin, mintalah keluarga pergi untuk merisik calon.
Ini lebih beradab dan bertanggungjawab daripada mengemukakan sendiri. Oleh
kerana perkahwinan melibatkan banyak aspek kepentingan, tanggungjawab,
persaudaraan dan kekeluargaan maka sewajibnya ia dimulakan dengan cara yang
betul penuh ketaqwaan bukan terikut-ikut dengan budaya asing. Perkahwinan bukan
hanya didirikan atas dasar cinta sahaja tetapi tanggungjawab dan juga amanah.
No comments:
Post a Comment